Sabtu, 1 Ogos 2009

ISA: Ya, Tidak dan Orait!

SEMUA orang maklum apa itu ISA, semua orang tahu ia kependekan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ramai dari kalangan kita sedar yang pada 1 Ogos ini akan ada perhimpunan rasaksa di ibu kota Kuala Lumpur anjuran GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta parti-parti politik yang menyokongnya.

Pada tarikh yang sama juga diberitakan satu perhimpunan kontra GMI a.k.a menyokong ISA sedang dirancang untuk dilaksanakan oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka sebagai Majlis Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran). Kenapa ada yang mengata ya dan ada yang mengata tidak pada ISA? Pastinya wujud juga kumpulan ketiga yang bersifat orait-orait sahaja, ada ISA pun tidak mengapa, tiada ISA pun sama sahaja. Bagi kumpulan yang menentang, sudah pasti hujah yang digunakan adalah kezaliman, penafian hak asasi manusia dan kewujudan ruang gelap yang membenarkan akta tersebut disalahguna terutama bila berkait dengan kepentingan politik kekuasaan. Sementara bagi kumpulan yang menyokong pula, mereka dilihat tidaklah bersifat ideologikal, sekadar mahu mengumpul dan menunjuk kekuatan, mahu membuktikan yang penyokong ISA juga sama ramai dengan yang menentangnya. Hujah yang digunakan oleh kumpulan ini seperti biasalah, seperti yang selalu diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin parti pemerintah, ISA penting untuk keselamatan negara! Cuma yang memelikkan kenapa kumpulan Magaran ini terlalu menonjolkan kemelayuannya? Buktinya tema perhimpunan mereka yang berbunyi “1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu.”

Apa relevannya 1 Ogos sebagai ulangtahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan hak istimewa orang Melayu? Mungkin ya Magaran hanya menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Melayu, tetapi apakah GMI yang mahu disaingi mereka itu Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Bidayuh atau segalanya yang bukan Melayu?

Kalau ya sekalipun, ia masih perbuatan tidak wajar dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia. Ia juga nyata bersalahan dengan kata pertama dalam tema mereka, 1Malaysia. Sebab itu saya katakan mereka ini bukan ideologial. Abaikan dulu kumpulan yang orait-orait sahaja, kerana mereka mungkin tidak tahupun apa itu ISA, atau menganggap ISA itu tidak ada kena-mengena pun dengan mereka, jadi apa perlu sibuk-sibuk, yang penting soru tidak terlepas. ISA adalah satu akta yang membenarkan mangsanya ditahan tanpa sebarang bicara. ISA secara popular sering dikaitkan dengan Kemta (Kem Tahanan Kemunting).

Apa yang kritikal dalam penahanan tanpa bicara ISA bukanlah penghantaran ke Kemta ini untuk tempoh minimum dua tahun, tetapi adalah penahanan 60 hari sebelum Menteri bersetuju untuk penghantaran ke Kemta tersebut.

Ini kerana dalam tempoh 60 hari ini, mangsa bukan sahaja dinafikan sesi perbicaraan di mahkamah terbuka, tetapi juga menjadi tempoh “ghaib” mangsa kepada ahli keluarga dan peguamnya. Dalam kes demonstrasi serentak GMI dan Magaran, persoalan besar yang timbul adalah mengapa perlu serentak? Tidak bolehkah dibuat selang sehari? Dengan prinsip masih menghormati hak dan kebebasan mana-mana kumpulan rakyat untuk berhimpun, dan tanpa niat mahu membuat justifikasi kumpulan mana yang patut disokong, apa yang saya perkirakan adalah tentang modus operandi demonstrasi ini. Alangkan perarakan mengiringi calon semasa pilihanraya pun boleh bertembung dan mencetuskan suasana tidak enak, dalam pada jalan laluan parti masing-masing telah ditetapkan oleh SPR, apa yang kita mampu jangkakan dari rancangan perhimpunan rasaksa dari GMI dan Magaran ini?

Memang benar kedua-dua pihak berkata mereka telah tetapkan poin-poin perjumpaan yang berbeza di ibu kota yang sama, Kuala Lumpur, supaya nanti tidak akan berlaku persemukaan. Tetapi itu hanya kata-kata yang ditulis di atas kertas. Provokasi boleh memungkinkan perkara yang sebaliknya, apalagi dalam keadaan masing-masing menggunakan pengadil sendiri. Maka laluan para demonstran tanpa pemegang kompas mungkin sahaja akan lari latitud dan longitudnya. Cuba anda bayangkan jika pertembungan ini berlaku, pertembungan di antara dua kumpulan yang berbalah pendapat, di jalanraya terbuka, ditambah pula “pedasnya” bila hadir sang gedebe Ibrahim Ali. Saya sendiri risau untuk memikirkannya walaupun saya tetap berdoa supaya 1 Ogos nanti akan terjauh dari segala bala. Saya tahu kumpulan ketiga yang orait-orait sahaja itu akan berkata, “Biarkanlah sahaja Zukri, buat apa susah-susah mahu fikir akibatnya, biarkanlah mereka yang bodoh dan tiada kerja itu…” Saya tidak merasa begitu, kerana setiap orang bila berbuat sesuatu pasti ada sebabnya, apalagi bila ia melibatkan politik, tentu ada yang berbuat begitu kerana perjuangan politiknya, ada juga yang berbuat begitu kerana potensi keuntungan politik di sebaliknya. Yang memimpin kumpulan masing-masing sudah pasti cerdik-cerdik belaka. Apa yang saya paling takut untuk andaikan ialah, adanya tangan-tangan tersembunyi yang terlibat sama dari belakang, menyucuk dan menambah perisa ghairah kepada kedua-kedua kumpulan, sama ada GMI atau Magaran supaya meneruskan juga demonstrasi ini walaupun pada ketika di hadapan mata sudah jelas pertembungan sengit akan berlaku. Yang lebih menggerunkan untuk saya fikir ialah andainya kewujudan tangan-tangan tersembunyi ini tidak disedari pun oleh pemimpin kedua-dua kumpulan. Saya takut untuk andaikan yang tangan-tangan tersembunyi sedang cuba menyucuk pemimpin kedua-dua kumpulan bukan setakat merealisasikan perhimpunan besar ini, tetapi lebih teruk dari itu memastikan pertembungan akan berlaku, seterusnya api-api huru-hara akan dilontarkan oleh provokator-provokator seludupan tangan-tangan tersembunyi tersebut. Harap-harapnya andaian saya ini salah. Namun jika ia benar, kita sudah boleh gambarkan kesudahannya. Bakal tercatit dalam sejarah, di hari ulangtahunnya, ISA buat kesekian kalinya digunakan untuk menahan berpuluh, malahan mungkin beratus pemimpin yang terlibat, akan ada pemimpin pertubuhan bukan kerajaan yang ditangkap, tetapi sudah pasti yang paling ramai diangkut ke dalam Black Maria adalah pemimpin parti pembangkang, Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat boleh sahaja lumpuh selepas itu kerana kehilangan ramai pemimpin, kerajaan-kerajaan negeri di bawah kekuasaan Pakatan Rakyat pula akan mula menjadi longgar dan goyah, akhirnya tumbang akibat masalah yang sama. Tangan-tangan tersembunyi ini bukanlah bodoh untuk menjadikan acara 1 Ogos ini kelihatan di mata rakyat seperti acara berat sebelah atau bermotifkan politik. Maka jangan pelik bila pemimpin-pemimpin Magaran juga akan ditangkap dan disumbat sama dalam kesesakan Black Maria, termasuklah tok-tok guru silat lincah. Yang paling pasti ditahan di pihak ini tentulah Ibrahim Ali. Mereka ini mungkin kambing hitam yang sudah dirancang menjadi korban, atau pura-pura dikorbankan dengan berbalas hantaran habuan. Akhirnya tangan-tangan tersembunyi ini akan cuci tangan dengan gembira, perancangan sudah berjaya. ISA tidak lagi boleh dituduh oleh sisa pemimpin Pakatan Rakyat ketika itu sebagai alat yang disalahguna oleh parti pemerintah untuk kekal berkuasa atau untuk mengekang kebangkitan parti pembangkang dengan alasan keselamatan negara, kerana yang terbukti huru-hara telah terjadi, dan huru-hara sememangnya selalu memperjudikan keselamatan negara. Saya sekali lagi berharap andaian saya ini moganya jauh tersasar.

Sumber: Mstar

Tiada ulasan: